Belina Shop

Pas juga Corrupt?

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang bertanding menggunakan tiket Pas pada pilihan raya umum lalu bersedia menerima tindak balas daripada parti itu berikutan sikapnya yang terus mengkritik kerajaan negeri Kelantan.

Beliau berkata, tidak menjadi masalah kepadanya jika dikenakan tindakan itu kerana perjuangannya adalah ikhlas semata-mata untuk kebaikan rakyat di negeri berkenaan.

''Tidak apa tahun ini kali terakhir (bertanding di atas tiket Pas), tidak menjadi hal. Saya membujur lalu melintang patah demi kepentingan rakyat Melayu dan Islam, bukan menjadi perkakas kepada DAP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2008 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) yang bangun mencelah semasa Ibrahim berbahas menyifatkan perbuatan Ahli Parlimen Pasir Mas itu yang asyik mengkritik kerajaan Pas Kelantan akan menyebabkan beliau tidak lagi berpeluang bertanding menggunakan tiket parti itu.

''Saya hendak beritahu kepada Pasir Mas, mungkin ini kali terakhir kita dengar daripada dia. Lepas ini kalau dia hendak bertanding biar di bawah Barisan Nasional (BN), kita hendak tengok dia boleh menang atau tidak," kata Khalid.

Ibrahim dalam perbahasannya mendakwa terdapat ahli politik di Kelantan yang menerima komisen bernilai berpuluh juta ringgit daripada syarikat balak dan menerusi projek yang ditawarkan melalui tender runding terus.

''Saya bercakap atas dasar profesional, tentang hakikat yang sebenar. Saya percaya ahli politik ini mendapat komisen lebih banyak daripada premium yang dibayar kepada kerajaan negeri.

''Mereka ini mengambil kesempatan, kata orang paku serpih, kata orang kita yang lebih. Saya bercakap baik Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri, tanpa mengira parti," katanya

Beliau juga menempelak kerajaan Pas Kelantan yang asyik menyalahkan Kerajaan Pusat kerana dikatakan kurang membantu kerajaan negeri itu dari segi kewangan.

''Bagi saya kerajaan negeri juga harus berusaha. Kalau hendak maju, pemimpin mesti lakukan inovasi dan kreatif. Kita juga mesti melakukan lawatan ke luar negara untuk mencari pelabur.

''Kelantan ada empat pantai yang cantik, budaya bermacam-macam dan semua makanan ada di negeri ini.

"Rakyat juga rajin tetapi negeri masih tidak maju kerana pemimpinnya asyik berceramah 24 jam sahaja," katanya.

0 comments:

Post a Comment